Sunday, January 30, 2011

Sebab kau kan KAKAK!

Pernah terasa diri seperti di anak tirikan? Aku pernah. Selalu. Dari kecil sering menganggap diri seperti anak tiri. Anak angkat. Black sheep. Budak jahat. Budak setan. Nakal. Tapi semua title itu sendiri yang reka. Mama tak pernah kata. Abah pun tak kata. Cuma ada teringat mama pernah cakap, ''kalau mama tau kamu ni jahat macamni, kecik-kecik lagi mama dah bagi kat orang!", kadang tu keluar juga ayat begini, "jahat sangat! Elok mama biar je awak kat tong sampah dulu. Takda nak amik bela.''..

Manalah tidak terasa diri seperti anak angkat. Black sheep of the family. Budak jahat dan juga budak setan. Tiap kali mama marahkan aku itu sahaja ayat yang di lontarkan. Tak pernah tengok mama marah adik-adik yang lain macamana aku kena. Mungkin aku memang terlalu nakal hingga mama tak sanggup nak melayan kerenah anaknya itu. 

Aku selalu kena beralah dengan adik-adik. Iyelah. Kau kan KAKAK! Tapi kalau kakak sekali pun, tak kan lah semua benda yang kakak buat akan tidak betul? Aku bukan lah kakak yang sulung. Tapi yang kedua. Got it! KAKNGAH, yang tengah. Memang akan diperlakukan begitu. 

Selain disumpah seranah oleh mama, tali pinggang, hanger, rotan, pelempang, penerajang, semua pernah singgah kat badan aku. Peliknya adik-adik yang lain tak pernah kena. Ok, sebab kau kan KAKAK. Aku ada kakak sulung, tapi dia sangat baik. Bagi aku takda la baik mana pun. Cuma penakut. Ikut telunjuk saja. Lurus. Pernah sekali mama mengamuk sebab memekak masa mama tengah solat. Itu pun sebab aku menyakat kakyong. Akhirnya dua-dua kena rotan. Itulah pertama kali aku tengok kakyong kena rotan. Menangis sampai terkencing-kencing. Aku sikit pun tak menangis malah mengejek kakyong lagi.

Satu lagi perangai yang mama tak tahan dengan aku ni, suka menjawab. Sepatah mama marah, berpatah-patah perkataan aku balas. Mana tak sakit hati orang tua tu. Sampai lah kadang-kadang tu, selalu cakap dalam hati "aku ni melawan-lawan mama ni, dah mati sok mesti masuk neraka, sebab jadi anak derhaka!"..

Abah tak banyak cakap. Tugasnya hanya merotan. Apa yang tak kena baginya, kenalah. Tukang repotnya, mama. Mangsanya pulak aku. Ada je lah benda yang akan tak kena dengan aku ni. Hampir hari-hari boleh di katakan akan kena rotan. Tali pinggang. Sudah naik imun dah badan kena rotan. Kadang kena rotan muka relax je sebab dah sebati. Aku jarang menangis kalau kena pukul, sebab kalau menangis, lagi kuat akan kena pukul. Jadi, hanya buat muka toyer, bagi abah sakit hati. Baru puas!

Dari kecil juga segala kerja-kerja rumah mama serahkan pada aku je handle. Dari kecil dah kena belajar masak. Mengemas. Buat segala kerja-kerja rumah. Adik-adik tak payah. Mereka kecil lagi. Takpa, kau kan KAKAK. Kakyong pun takpa, dia tengah sibuk dengan pelajaran. Konon harapan keluarga. Macamana aku tak rasa diri macam anak angkat. Anak tiri. Langsung tak faham kenapa yang lain boleh bersenang lenang sedangkan aku kena kerah tenaga.

Masa berlalu terlalu pantas.. kini anak-anak mama dan abah semua dah besar. Aku pun dah tak kena pukul. Dah pandai fikir benda baik dan buruk. Tak lah jahat seperti masa kecil. Kakyong pun dah berkahwin. Dah ada tanggungjawab sendiri dengan keluarganya.  Sekarang aku yang ambil alih bantu keluarga dalam apa jua hal. Aku dah boleh di ibaratkan KAKAK sulung dalam keluarga. Bukanlah mengatakan bahawa kakyong tidak perlu bertanggungjawab langsung dalam urusan keluarga, tapi dari kecil aku dah di ajar erti tanggungjawab oleh mama dan abah sendiri, walaupun aku merasa sangat terbeban, seperti anak angkat.

Sekarang, aku dah mula faham, kenapa mama dan abah treat aku begitu dulu. Sebab mereka sayangkan aku. Sebenarnya semua anak-anaknya sama di agihkan kasih sayang. Tak ada dibeza-bezakan. Cuma aku rasa sedikit istimewa di ajar begitu. Mungkin mereka nampak aku boleh jaga keluarga suatu hari nanti, juga boleh diharapkan jika mereka dalam kesusahan atau sudah tiada lagi. Kata orang, instinct mak abah kita nie selalunya betul. Entahla..

Pengalaman yang pahit kita telan dulu semuanya manis sekarang. Asam garam kehidupan. Orang yang tidak pernah merasai kesusahan seperti aku dulu, mesti tak kan merasa seperti yang aku rasa. Bukanlah menyatakan aku menjadi orang, tapi at least aku tau dan mengerti erti pengorbanan dan tanggungjawab. Mungkin apa yang aku rasa itu, tidak dirasakan sangat seperti kakak ku sendiri dan adik-adik. 

Apa yang aku boleh janjikan sekarang hanyalah sebagai seorang kakak kepada adik-adik, anak kepada kedua ibu bapa yang masih lagi hidup, sedikit sebanyak beban yang mama dan abah pikul, aku akan cuba sama-sama pikul. Ini janji saya! Ingat kakngah, kau kan KAKAK!

No comments: